Di Malaysia, pengguguran janin adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan (pindaan – 1997). Walau bagaimanapun, fasal pengecualian telah ditambah kepada Seksyen 312, seorang pakar perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 boleh menamatkan kehamilan seorang wanita jika kehamilan itu diteruskan boleh meningkatkan risiko kepada nyawa wanita tersebut, atau membawa kemudaratan yang lebih besar kepada kesihatan mental atau fizikal jika tidak digugurkan. Namun di bawah Seksyen 314 Kanun Keseksaan menunjukkan bahawa jika proses pengguguran janin ini telah membawa kepada kematian ibu, ianya akan menjadi satu kesalahan jenayah.
Malangnya, stigma dan rasa malu yang berlegar di sekitar isu pengguguran menyebabkan ramai orang berfikir bahawa ia adalah benar-benar menyalahi undang-undang.
Mempunyai akses kepada semua maklumat berkaitan hak reproduksi wanita adalah hak mereka. Seseorang wanita harus membuat keputusan berdasarkan kesemua maklumat yang ada; termasuk jika dia mahukan sebarang nasihat dari segi agama dan etika.
Harus difahami bahawa pengguguran itu bukanlah kaedah kontraseptif. Sekiranya anda merancang untuk melakukan hubungan seksual, pastikan anda menggunakan kaedah kontraseptif moden untuk mencegah kehamilan. Kita harus menjadikan setiap kehamilan adalah kehamilan yang dirancang, apabila sudah bersedia untuk mempunyai bayi.
Ingat, pengguguran BUKAN satu kaedah kontraseptif.
Misoprostol adalah produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan pengguguran janin.
Pemegang pendaftaran produk berkenaan membatalkan pendaftarannya pada November 2016, menjadikannya sebagai produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan dilarang dijual di pasaran Malaysia.
Mifepristone juga adalah produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan untuk tujuan pengguguran janin.
Penjualan produk yang tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan kesalahan mengikut Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.